Tuesday, July 11, 2023

Takut kehilangan

Bismillah.

Hari ini, lepas bawa mama buat ultrasound hati, kami singgah di kamar mayat hospital. Mendiang pakcik meninggal 5 pagi kelmarin dan baru hari ini akan dikeluarkan dari kamar setelah dimandikan dan sebagainya. Mendiang pakcik ini adalah sepupu pertama bapa di sebelah nenek. 

Keluarga sudah ramai di pekarangan kamar. 

Sayup.

Hiba.

Sedihnya kehilangan mendiang pakcik yang tersayang. Mendiang ini paling rapat dengan bapa. Sebab, bapa anak tunggal, mendiang pakcik la tempat kami singgah kalau ke Nabawan sebelum ke Keningau. Sedihnya. 

Jujurnya, bila melihat wajah mendiang dalam keranda, automatik teringat wajah bapa yang tersayang. Raut wajah seakan-akan sama walaupun sebelum ini wajah mendiang seakan-akan 'bulat' berbanding wajah bapa yang panjang dan kecil. Namun, di saat-saat tenatnya melawan kanser hati tahap 4, mendiang kelihatan kurus dan cengkung. 

Masa melayan rasa sedih tu, Ummi Gugu berbisik. Sebelum Ama (panggilan untuk mendiang pakcik) meninggal, dia ada pesan, "jangan bagi Aka (merujuk bapa) datang melawat saya, nanti dia sakit." Masa dengar tu ya Allah, lagilah rasa sedih. Di kala mendiang melawan kesakitan, beliau ingat lagi perihal kesihatan bapa yang selalu sesak nafas malam-malam. 

Bila melihat suasana pilu hari ini, saya cuba letakkan diri saya di tempat sepupu-sepupu. Ternyata, saya tidak berani memikirkan. Dan, tidak dapat membayangkannya. 

Hakikatnya, saya takut kehilangan. 

Kehilangan orang tersayang adalah perkara terakhir yang akan difikirkan. Walaupun, hati menidakkan kebenaran. Kematian itu tetap sesuatu yang pasti. 

Kehilangan itu sepatutnya meninggalkan pengajaran. 

Pengajaran untuk kita berbuat amal kebaikan. 

Dan, bersedia menghadapi kehilangan.

Entah bila.


Bersemadilah dengan damai.

Tenanglah di sana, ama. 


MB
AZKA
110723, 2254

No comments:

Post a Comment